Isu-isu Perihal Proses Penyusuan



Masa
Biarkan bayi anda menghabiskan hisapan dari sebelah payudara dahulu sebelum menukarkan kepada payudara sebelah lagi. Ini memberinya peluang untuk menikmati susu akhir yang penting untuk tumbesaran. Biarkan penyusuan itu berakhir apabila bayi melepaskan payudara anda dengan tenang dan puas. Pastikan anda menyusukan bayi sekurang-kurangnya 8 hingga 12 kali dalam masa 24 jam. Susu ibu mudah dihadam dan bukanlah mustahil jika bayi anda terasa lapar semula dalam masa satu atau satu setengah jam kemudian.

Berapa banyakkah yang dikatakan cukup?
Kebanyakan ibu merasa risau sama ada bayinya telah menyusu dengan cukup ataupun tidak. Terdapat beberapa cara untuk mengetahuinya. Salah satu daripadanya ialah jumlah lampin yang basah dalam sehari. Pastikan ia telah membasahi sekurang-kurangnya 6 lampin sehari dengan air kencingnya berwarna kuning pucat, bermula sekitar hari ke 3 atau ke 4 selepas kelahiran. Bayi sepatutnya membuang air besar beberapa kali dalam sehari (mungkin sekali selepas setiap penyusuan untuk beberapa minggu yang pertama). Pada minggu pertama selepas kelahiran, bayi anda sekurang-kurangnya membuang air besar sebanyak 2 kali sehari. Kemudian meningkat kepada sekurang-kurangnya 5 kali sehari apabila berusia 1-4 minggu. Semakin meningkat usia bayi semakin kurang ia membuang air besar dan kadangkala tidak membuang langsung untuk beberapa hari. Najis bayi yang menyusu dengan susu ibu kurang berbau berbanding bayi yang menyusu dengan susu formula.

Pola atau corak penyusuan bayi juga sangat penting sebagi tanda ia menetek dengan secukupnya. Bayi yang baru lahir akan menyusu setiap 11/2 hingga 3 jam dalam masa 24 jam. Jika bayi tidur dengan nyenyak untuk selama lebih 4 jam dalam dua minggu yang pertama selepas kelahiran, kejutkannya untuk disusui. Adalah penting bayi melekap dengan betul semasa menyusu (Lihat Melekap). Dengarkan bunyi tegukan untuk mengetahui yang bayi anda menelan susu dan bukan hanya menghisap. Juga perhatikan gerakan rahang yang perlahan dan mantap semasa menghisap susu.

Bayi anda sepatutnya memperolehi berat badan yang stabil selepas minggu pertama kelahiran. Pada minggu pertama, sesetengah bayi kehilangan berat badan beberapa auns tetapi memperolehinya semula di akhir minggu kedua. Doktor atau jururawat akan mengambil ukuran berat badan bayi anda setiap kali lawatan. Ingat bahawa bayi anda mungkin lebih kerap menyusu semasa pertumbuhannya memuncak.

Tanda-tanda bayi mendapat susu yang mencukupi:
• Sekurang-kurangnya 6 lampin basah setiap hari dan membuang air besar yang cair berwarna kekuningan 2- 5 kali sehari. Ini bergantung kepada umur bayi.
• Pastikan najis bayi tidak berwarna putih atau kelabu. • Peningkatan berat badannya stabil selepas minggu pertama kelahiran.
• Air kencingnya berwarna kuning pucat dan bukannya berwarna kuning pekat atau jingga.
• Tidurnya nyenyak, bayi kelihatan cergas ketika bangun tidur.

Adakah saya perlu memberi air?
Kebanyakan bayi yang menyusu susu ibu tidak memerlukan air, vitamin, atau ferum selama 6 bulan yang pertama. Susu ibu menyediakan semua cecair dan zat-zat makanan yang diperlukan oleh bayi untuk terus sihat. Apabila umur bayi mencapai 6 bulan, anda boleh mula memperkenalkan makanan yang kaya dengan ferum. The American Academy of Pediatrics dan The American Academy of Pediatric Dentistry telah mengesyorkan, bayi yang menyusu susu ibu (mahupun bayi yang menyusu dengan susu botol) tidak perlu diberi florida tambahan untuk 6 bulan pertamanya. Selepas berumur 6 bulan, berjumpalah pakar pediatrik untuk mengetahui sama ada anda perlu memberinya florida tambahan. Jika bayi anda tidak boleh atau enggan menyusu atau anda menghadapi masalah menyusukan bayi, adalah penting berjumpa doktor atau pakar pediatrik secepat mungkin. Keengganan menyusu mungkin disebabkan penyakit yang memerlukan perhatian segera.

Berapa lamakah masa yang diambil untuk menyusukan bayi?
Sesetengah bayi hanya menyusu selama 10 minit dari setiap payu dara, manakala yang lainnya lebih lama. Sesetengah bayi masih menghisap walaupun mereka kelihatan seperti tertidur. Jika bayi anda tertidur ketika menyusu, atau anda perlu menamatkan penyusuan sebelum bayi anda berhenti, leraikannya dengan memasukkan jari ke dalam mulut bayi ketika bibirnya masih melekap pada payu dara anda. Gunakan jari untuk meleraikan mulut bayi. Jangan sekali-kali menarik puting anda tanpa meleraikan hisapannya.

Menyusu dengan kedua-dua payudara
Apabila anda menyusu, selang-selikan antara kedua-dua payudara anda (anda boleh meletakkan tanda pada coli untuk mengingatkan sebelah mana yang telah dihisap sebelum ini). Sememangnya anda ingin kedua-dua payudara dihisap sama rata, tetapi sesetengah bayi mungkin hanya lebih suka kepada satu payudara sahaja dan menetek lebih lama di sebelah itu. Jika ini terjadi, payudara anda akan menyesuaikan keadaan mengikut keperluan bayi. Ingat bahawa bayi andalah yang mengawal berapa banyak susu yang perlu dihasilkan. Oleh yang demikian, adalah penting anda menyusukan bayi dengan kedua-dua belah payudara supaya kedua-duanya mendapat rangsangan yang cukup untuk menghasilkan susu. Lama-kelamaan anda akan mengetahui pola penyusuan bayi anda yang sebenar. Setiap bayi mempunyai caranya yang tersendiri. Sesetengahnya cepat dan sesetengahnya lambat. Memahami corak atau pola pengambilan susunya akan memudahkan anda menentukan sama ada bayi anda lapar, kenyang, kekerapannya menyusu dan berapa lama masa yang diperlukan untuk setiap penyusuan.

Muntah susu, tersedu dan lain-lain reaksi
Muntah susu atau jeluak merupakan tindak balas biasa yang terjadi di kalangan bayi semasa atau selepas menyusu. Sesetengahnya lebih mudah muntah berbanding dengan yang lain. Anda tidak perlu risau apabila bayi anda muntah. Tidak seperti bayi yang meminum susu formula, muntah yang dikeluarkan oleh bayi yang menyusu dengan susu ibu tidak begitu berbau dan tidak melekat pada kain atau linen. Jika bayi anda selalu muntah susu, lakukan perkara berikut:

• Cuba menyusu dalam keadaan yang tenteram, tenang dan menyeronokkan.
•Elakkan dari sebarang gangguan, bunyi bising, cahaya yang terlalu terang dan gangguan-gangguan lain.
• Sendawakan bayi sekurang-kurangnya 2 kali semasa menyusu.
• Pegang bayi anda tinggi sedikit semasa menyusu.
• Pegang dan tegakkan selepas menyusu.
• Jangan menggomol atau bermain dengan lasak bersama bayi selepas sahaja menyusukannya. Jika bayi anda muntah berulang kali, terutama jika muntahnya keluar memancut-mancut, dapatkan nasihat doktor secepat mungkin. Kebanyakan bayi akan tersedu dari masa ke semasa. Jika ini berlaku, anda masih boleh meneruskan penyusuan kerana sedu akan berhenti dengan sendirinya.

Ulasan

Unknown berkata…
Tips dan panduan yang bagus

fazidah

p/s : dapatkan panduan memilih bra menyusu yang selesa di http://www.mamamodern.com

dan

panduan memakai bengkung selepas bersalin cesarean di http://www.bengkungmoden.com

Catatan Popular