Jangan Sekat Perkembangan Anak
“Haikal, jangan kutip mainan. Kotor!”
“Dania, jangan lari. Jatuh!”
“Hakim, jangan panjat, nanti jatuh!”
“Biar Ibu dukung saja. Kotor nak merangkak kat situ.”
Berikut antara dialog yang sering diucapkan oleh sesetengah ibu
terhadap bayi kecilnya yang semakin lasak dan aktif. Melihat caranya
melayan bayi, kita boleh membuat kesimpulan si ibu terlalu melindungi
anaknya.
Memang benar, sebagai ibu kita mahu memberikan yang terbaik kepada anak
dan mahu melindungi mereka daripada ancaman bahaya tetapi kadang kala
tanpa disedari, kita juga menjadi penghalang terbesar kepada
perkembangan positif anak.
Secara semula jadi, bayi kecil akan mula meneroka dunia sekelilingnya
dalam proses tumbesaran yang aktif. Mereka belajar daripada
persekitaran. Ia membantu perkembangan positif anak menjadi lebih mahir
dan cekap mencapai perkembangan kemahiran motor mereka seperti meniarap,
merangkak, duduk, berdiri dan berjalan.
Pelbagai halangan dan perlindungan yang keterlaluan hanya akan menyekat
keinginan semula jadi anak untuk meneroka dan belajar. Tanpa disedari,
kita sendiri yang menghalang proses pertumbangan anak bahkan
mengganggunya membesar sebagai anak yang kreatif dan inovatif kelak.
Terlalu melindungi
Sikap tidak mahu anak terdedah kepada bahaya memang sikap pelindung ibu
dan ayah. Namun jika kita keterlaluan tidak mahu anak berada dalam
keadaan berisiko, anda sebenarnya telah menanamkan perasaan rendah diri,
penakut dan sombong dalam diri anak anda sejak dia kecil lagi.
Cepat beri bantuan
Jika anak anda sedang dalam proses belajar kemahiran motor seperti
duduk, berdiri atau berjalan. Biarkan sesekali dia melakukan kesilapan
dan merasakan kesakitan. Jangan terlalu cepat memberikan bantuan. Ia
hanya akan membuatkan anak anda mudah lemah semangat dan cepat berputus
asa kerana tahu ibu ayah akan datang membantu.
Cair dengan anak
Kadang kala sikap kita sebagai ibu bapa terlalu mudah ‘cair’ dengan
anak-anak. Biarpun mereka melakukan kesilapan, dengan membuat mimik muka
comel, ia sudah cukup membuatkan kita mudah memaafkan kesilapan mereka.
Seharusnya kita tegas dengan pendirian kita sebagai ibu bapa. Kata
orang melentur buluh biar dari rebungnya.
Cakap tidak serupa bikin
Walaupun anak anda masih usia bayi tetapi mereka memerhatikan tingkah
laku anda. Oleh itu pastikan anda memberikan mereka contoh yang baik
dalam urusan mendidik mereka. Jangan terkejut jika satu hari nanti anak
anda meniru perbuatan buruk anda. Misalnya bercakap kasar atau suka
menjerit. TIdak mustahil si kecil juga akan pandai menjerit dan bercakap
kasar bila tiba saatnya nanti.
http://pama.karangkraf.com/
Ulasan