AidilAdha Berkorban Diri Untuk Islam



Izinkan saya untuk mengingatkan bahawa Allah Melihat Korban kita untuknya bukan hanya pada Hari Raya Korban ini sahaja, malah untuk hari-hari biasa yang lain. Jika  mempunyai anak, kemudian berusaha untuk mendapatkan ilmu mendidik, membeli bahan-bahan untuk mendidik mereka, mengeluarkan masa, wang dan tenaga... itu adalah 'korban diri' bagi mencari cara mempersembahkan yang terbaik kepadaNya. 
Ibu berkorban badan yang meraung untuk diberi rehat. Mata yang merayu untuk diberi tidur yang cukup. Bapa pula, mungkin tidak mendidik tetapi mahu isterinya berhenti kerja untuk mendidik anak-anaknya.  Sanggup mengharung ekonomi yang kurang sumbernya, itu juga adalah korban.  Atau sanggup menurunkan egonya bagi membantu isteri supaya si isteri boleh mendidik anak-anaknya.Tenaga, masa dan wang ringgit dikorbankan untuk mendidik anak kita supaya dia menjadi seorang yang disayangiNya. Supaya anak kita berdiri di barisan paling dekat denganNya nanti kerana bukan sahaja menghafal al Quran, malah menjaga, dan mengamalkan hafalannya itu. Semua pengorbanan kita itu akan dilihatNya dan dikiraNya. Walaupun setiap orang itu  akan berlainan hasilnya.
Ini adalah akhir zaman. Mendidik mereka dizaman ini memerlukan berganda ilmu, kebijaksanaan dan semangat dari mendidik mereka di zaman sebelumnya. InsyaAllah, ia adalah korban yang bukan sia-sia. Kerana korban kita ini bukan untuk berbangga didepan manusia tetapi untuk dipersembahkan kepada Pencipta manusia, alam dan segala isinya ini. 
Akan tiba hari dimana Kaabah akan dihancurkan dan al Quran itu akan hilang ayat-ayat tulisannya. Bila ianya terjadi, apakah reaksi kita? Diwaktu itu biar musuh Allah melihat, kita tetap bersolat di arah yang sama. Kerana apa yang kita sembah bukan sebuah bangunan empat segi yang terletak di Mekah. Di waktu itu biar mereka melihat ada bibir yang membaca al Quran yang sama bacaannya seperti al Quran bertulis kerana al Quran itu telah terukir dihati anak-anak hafiz/hafizah kita. 
Suatu hari kita akan berdepan denganNya. Semua ini telah diberitahu kepada kita. InsyaAllah semoga kita dipilih menjadi orang yang mengambil pengajaran darinya dan seterusnya akan beruntung di dunia dan akhirat. Amiin.

Lina Karim

Ulasan

Catatan Popular