Anak Suka Membrontak
Di sini cara2 untuk atasi masalah anak yang suka membrontak.
Bak kata pepatah, ‘Sayang anak, tangan-tangankan’ di mana jika perlu,
bertegaslah dengan mereka sejak kecil lagi supaya dewasa kelak mereka
akan menghormati ibu bapa. Tidak hairan sekiranya terdapat anak yang
bersikap kurang ajar kepada ibu bapa setelah mereka dewasa akibat
daripada kemanjaan yang melampau sewaktu kecil. Bagi menangani masalah
ini, beberapa tip boleh dilakukan oleh anda dan pasangan:
- Perhatian dan penjagaan yang secukupnya
Lazimnya, kanak-kanak yang suka memprotes atau memberontak ini
mempunyai agenda tersendiri yang tidak diketahui oleh ibu bapa. Mereka
lebih suka menunjukkan sikap agresif dalam usaha untuk menyampaikan
ketidakpuasaan hati terhadap sesuatu perkara. Sebagai contoh,
pembahagian kasih sayang perlulah sama rata agar anak-anak tidak merasa
ketidakadilan yang berlaku. Dalam usia yang sedang giat berkembang,
perhatian menjadi faktor utama kepada pembentukan peribadi si anak. Si
anak mungkin akan merajuk atau tidak mendengar kata sekiranya mereka
merasakan diri diabaikan tanpa kasih sayang yang secukupnya. Suami
perlulah bekerjasama dengan isteri agar curahan kasih sayang tidak hanya
tertumpu pada pihak ibu sahaja.
- Bertegas dalam memberi arahan
Bertegas bukanlah bermaksud anda perlulah menjadi ibu bapa yang garang
dalam mengawal pergerakan si anak. Dalam konteks ini, bertegas boleh
difokuskan kepada konsisten dalam memberi arahan atau nasihat kepada
anak supaya ia menggambarkan anda tidak akan berkompromi sekiranya
mereka melakukan kesalahan. Sebelum memberikan hukuman adalah lebih
wajar sekiranya dimulakan dengan nasihat terlebih dahulu. Ini bertujuan
untuk menerapkan nilai disiplin, bertanggungjawab dan menghormati ibu
bapa mahupun orang yang lebih berusia dalam diri mereka. Elakkan hukuman
seperti merotan kerana ia hanya menggalakkan lagi sikap memberontak
dalam diri anak-anak.
- Meluangkan masa bersama keluarga
Kesibukan kerjaya tidak seharusnya dijadikan alasan oleh segelintir ibu
bapa untuk mengabaikan anak-anak di rumah lebih-lebih lagi anak yang
suka memprotes. Pembahagian masa haruslah betul agar anda dan anak-anak
dapat meluangkan masa yang berkualiti dengan melakukan aktiviti riadah.
Pastikan cuti di hujung minggu diperuntukkan khas untuk keluarga tanpa
sebarang komitmen kerja. Sekiranya anda mempunyai sumber kewangan yang
lebih, bawalah keluarga anda bercuti agar jalinan kekeluargaan menjadi
lebih akrab lagi.
- Kekalkan keharmonian rumah tangga
Kesejahteraan rumah tangga juga boleh mempengaruhi tingkah laku si
anak. Jika anda dan pasangan kerap kali bertengkar di hadapan mereka,
dikhuatiri anak anda akan mudah untuk mengaplikasikan perkara yang
dilihat ketika berkomunikasi bersama anda kelak. Lazimnya, kanak-kanak
menjadikan ibu bapa sebagai contoh dalam setiap perlakuan yang mereka.
Elakkan daripada bertengkar di hadapan mereka dan tunjukkan sikap dan
perwatakan yang baik. Ini kerana, perwatakan anak adalah hasil daripada
didikan yang anda dan pasangan berikan. Keretakan dalam rumah tangga
sebaiknya dielakkan agar anak-anak tidak berasa tertekan apabila melihat
perpisahan yang berlaku antara ibu bapa mereka.
- Pengawasan dan perlindungan
Awasi cara pergaulan anak anda agar mereka tidak berkawan dengan rakan
sebaya yang terlampau agresif dan nakal. Rakan sebaya juga mempunyai
pengaruh yang kuat dalam kelakuan anak-anak. Kebiasaannya, kanak-kanak
mengikut gaya percakapan rakan mereka dan mudah untuk menyuarakan
ketidakpuasaannya dengan menggunakan perkataan yang tidak elok. Dalam
situasi ini, anda mungkin boleh meminta tolong daripada pengasuh atau
cikgu supaya mengawasi mereka ketika berada di nurseri, taska atau
sekolah. Pemautan sebegini amatlah penting supaya anda mengetahui
perkembangan mereka tidak kira sama ada di dalam rumah atau di luar
rumah.
- Berikan pujian sebagai pembakar semangat
Jika anak anda melakukan sesuatu yang diarahkan dengan baik, berilah
mereka pujian dalam usaha untuk menarik perhatian mereka. Ini kerana
kanak-kanak amat gemar pujian terutamanya daripada ibu bapa. Tidak
semestinya anda perlu memberi pujian tersebut dengan disertakan bersama
hadiah semata-mata. Anda dan pasangan boleh memberikan ciuman atau
pelukan mesra kepada mereka sebagai tanda kasih dan sayang anda apabila
mereka mematuhi arahan. Cara sebegini lebih merapatkan lagi hubungan
anda dan anak kerana belaian kasih sayang ibu bapa adalah hadiah yang
tidak ternilai harganya buat si anak.