Cerita Bulan Ramadhan-Al-Fatihah Buat Arwah Abah

SELAMAT JALAN ABAHKU TERCINTA
MENUJU ALAM TEMPAT ASALNYA KITA
SEMOGA TUHAN BERI RAHMAT CAHAYA
ABAHKU SAYANG MENUJU KE ALAM BAQA

PERGINYA ABAH PADA SATU HARI
PUTUSLAH SUDAH TALI ABAH DENGAN DUNIAWI
CUMA HADIAH ANAKMU BOLEH BERI
AL FATIHAH BUAT TERAKHIR KALI


Terpanggil aku untuk menitipkan sesuatu di blog ini walaupun hampir setahun abah meninggalkan kami.Sebagai tanda kenangan untuk aku abadikan perasaanku kerana aku juga insan biasa yang tak bisa menerima kesedihan dan kematian. Tanggal 13 Ogos 2009 suatu tarikh keramat (Khamis), lebih kurang jam 8.30 malam aku menerima berita kematian yang disampaikan oleh adikku sewaktu dalam class. Tidak ada manusia yang sanggup menerima dan menghadapi kematian khususnya untuk orang tersayang. Sewaktu menatap jenazah abah buat kali terakhir aku cuba tidak mahu menangis di  hadapan ma sebab kutahu sudah tentu ma orang paling sedih menghadapi saat ini menerima pemergiaan orang tersayang setelah berkongsi hidup selama 35 tahun bersama arwah abah. Aku tetap tewas memang terasa sedih dan pilu, tangisan bukan bermakna aku tidak redha, tapi tangisan adalah disebabkan kerinduan kita pada insan yang kita sayang,sedangkan Nabi Muhammad SAW pun bersedih bila Siti Khadijah meninggal dunia,inikan pula aku insan biasa.

Aku menangis sehabisnya di rumah sebolehnya tidak mahu menangis di hadapan ma, aku agak terkejut menerima berita kematian itu walaupun aku sendiri dapat merasakan bahawa abah takkan lama bersama kami,aku menangis sendiri dalam toilet di KLIA sementara menunggu flight untuk pulang menatap wajah abah buat kali terakhir,ma menghidap darah tinggi dan sudah tentu dia tak boleh rasa sedih2,nanti akan memudaratkan kesihatannya. Sayu aku ketika tiba di airport pengkalan chepa sebab kali pertama aku tiba di situ waktu haikal 4 bulan dan abah serta ma menjemput kami. Tapi situasi yang aku hadapi saat itu adalah suatu yang sangat berbeza dan aku sendiri tidak sedar air mata mengalir untuk kali entah keberapa. Terbayang aku saat arwah abah dan ma menerima kepulangan kami dan cucu pertama dengan kancil hijau itu. Tapi semua itu sudah berlalu.

Kehilangan orang tersayang memang amat2 dirasai,tapi aku redha dan cuba tabahkan hati ini,aku cuba sedaya upaya menahan air mata bila bertentang dengan ma ,bukan apa,kalau turut sama menangis,nanti makin teruk keadaan. Sewaktu menguncup jenazah arwah abah buat kali terakhir aku cuba lagi untuk gagahkan diri menghadapi saat itu sempat aku berbisik "abah,kak lin dah balik, abah jangan risau,abah dah tinggalkan kak lin, sri dan abang sham dengan ilmu yang sudah cukup kepada kami,insyaAllah kami akan jaga diri dan jumpa abah di sana nanti". Abah hanya mendahului kami dan kami akan menyusulmu.

Mati adalah hidup yang sebenar,ujian yang Allah beri untuk yang masih hidup,kita kena tabahkan hati,yang hidup kena teruskan hidup dan jangan lupa berdoa untuk yang telah pergi, kita tinggalan mereka, zuriat mereka,jadikan mereka bangga dengan peninggalan semasa hidup mereka,jadi anak yang soleh dan solehah, setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati,cuma masa yang menentukan.

Sekarang ini aku cuma rasa sedih bila teringatkan tentang arwah abah,kadang-kadang air mata mengalir dengan sendiri apabila perasaan rindu dengan kenangan arwah abah muncul tiba-tiba, takkan kulupa akan senda gurauannya melayan anak2 dan cucu. Kadang-kadang bila telefon ma terasa sesuatu yang kurang sebab seakan ade soalan di mindaku nak aku tanya pada ma "abah buat ape tu" selepas itu abah pasti mejawab telefon itu sambil bergelak ketawa tapi semua itu sudah tiada lagi. Bukan untuk sementara tapi untuk selamanya. Dan kadang-kadang aku akan tersenyum kembali bila ingatkan aku akan hidup bersama di akhirat kelak dengan selama-lamanya,itulah yang membuatkan diri bermotivasi untuk bekerja keras melakukan amalan dan suruhan Allah, disamping berdoa dan berdoa agar ditemukan dengan arwah abah kelak di akhirat.

Sesungguhnya kenangan bersama arwah abah sukar untuk aku padamkan dari ingatan dan aku tidak rela ianya terpadam. Biarlah kenangan indah sewaktu arwah abah memanjakan diriku sewaktu aku kecil hinggalah aku dewasa tetap segar bermain dalam ingatanku. Selamat bersemadi wahai abahku tersayang, kami anak-anak dan cucu-cucumu akan tetap mengingatimu dalam setiap doa yang dipohon agar rohmu ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta ditempatkan di Syurga Allah. Al-Fatihan buat abah tersayang...Mahmud@Mahmood Bin Mat.

Catatan Popular