Doa Anak Soleh Penebus Ibubapa Dari Masuk Neraka
Nabi Musa A.S adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah
S.W.T. Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina.
Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah S.W.T. Nabi Musa A.S sering
bertanya dan Allah S.W.T akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya
yang tidak ada pada nabi-nabi lain.
Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah S.W.T ; “Ya Allah, siapakah
orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?”. Allah S.W.T pun menjawab
dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah
mendapat jawapan, Nabi Musa A.S turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan
mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan
akhirnya sampai juga Nabi Musa A.S ke tempat berkenaan.
Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu
dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk
di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik
dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa
seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa
terkejut melihatnya. “Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh
kehairanan.
Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap
sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak
lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang
lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga
kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya
dihantar semula ke bilik. Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa.
Tanya Nabi Musa A.S; “Wahai saudara! Apa agama kamu?”. “Aku agama Tauhid”,
jawab pemuda itu. “Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat
begitu.” Kata Nabi Musa.“Wahai tuan hamba”, kata pemuda itu. “Sebenarnya kedua babi itu adalah
ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah
telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka
dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya
tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua
ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah
menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.” sambungnya.
“Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon
supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah
masih belum memakbulkan lagi.”, tambah pemuda itu lagi. Maka ketika itu juga Allah S.W.T menurunkan wahyu kepada Nabi Musa
A.S.
‘Wahai Musa, inilah orang yang akan
berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepada
kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti
juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi
Kami.”Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : “Oleh kerana dia telah berada di maqam
anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya
yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam
syurga.”
Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa
yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan
syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah
dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di
akhirat kelak.
Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan urusan
kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana
mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.
Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan
kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua ibubapa
kita diampuni Allah S.W.T
Sumber: Islamic Parenting
Sumber: Islamic Parenting
Ulasan