Cara Mengurangkan Marah Pada Anak Kecil



Memang tidak mudah mendidik anak-anak. Tambahan pula, sikap anak kecil yang  susah mendengar kata, menyebabkan ibu-bapa hilang kesabaran, naik darah. geram dan sebagainya. Meninggikan suara dengan muka yang bengis menjadi pilihan ibu bapa. Namun tahukah anda sikap ini menjejaskan perkembangan emosi dan mental anak-anak anda.
Tentunya anda tidak mahu anak anda membesar dengan emosi terganggu. Pernahkah anda terfikir, bagaimana anak anda pula memarahi anda apabila mereka besar nanti. Jangan salahkan mereka, kerana andalah yang mengajar mereka. Andalah yang menjadikan emosi mereka mudah terganggu dan menjadi seorang pemarah.
Sebenarnya memori anak anda semasa kecil amat kuat. Disinilah mereka mengingati dan belajar daripada apa yang mereka lihat dan dengar. Pada ketika inilah mereka mencuba sesuatu yang baru. Pada ketika inilah mereka membentuk jati diri mereka. Oleh itu anda perlu menunjukkan nilai-nilai murni yang akan membentuk sikap positif dalam diri mereka.




Disini saya berkongsi tips mendidik anak yang dapat membantu anda mengurangkan marah kepada anak kecil anda.

1. Sebelum memarahi anak anda. Fikirkan dulu. Adakah anda suka dimarahi sebegitu oleh emak anda atau orang lain. Adakah anda mahukan anak anda memarahi anda pula seperti itu suatu hari nanti. Bagaimana perasaan anda jika dimarahi sebegitu pula. Apa jua salah anda, saya pasti anda tidak suka dimarahi sebegitu.

2. Lebih banyak memberi kesedaran pada anak anda daripada memarahi. Ia memang tidak mudah. Namun ia sangat membantu mereka berubah. Anak anda sebenarnya dalam proses pembelajaran. Fikirkanlah cara lain membuat anak anda lebih memahami daripada asyik memarahi mereka.

3. Fahami, anda bukan melahirkan seorang robot yang mengikut apa sahaja arahan anda. Anda melahirkan seorang manusia yang mempunyai emosi dan keinginan. Cuba fahami emosi dan keinginan mereka. Cuba bawakan keinginan mereka pada sesuatu yang anda mahukan.

4. Didik diri anda sendiri untuk menunjukkan rasa sayang pada anak kecil melalui suara, muka dan tindakan. Anda perlu tunjukkan, barulah mereka mengetahui anda menyayangi mereka. Tidak guna jika perasaan sayang hanya di dalam hati sahaja. Tiada gunanya.

5. Elakkan mengeluarkan kata-kata negatif pada anak anda. Elakkan dari mengutuk atau menjatuhkan maruah anak anda di depan orang lain. Adakah anda suka dikutuk di depan orang lain. Begitu juga dengan anak anda. Tiada siapa yang suka dikutuk di depan orang lain walaupun mereka masih kecil.

6 Anda perlu memandu anak anda semasa menonton TV. Anda perlu memberitahu mereka perkara yang salah dan betul di dalam TV. Tahukah anda, anak-anak anda mudah mengikut apa yang mereka lihat. TV banyak membentuk keinginan dalam diri anak anda. Dan mereka suka mencuba apa yang mereka lihat di kaca TV.

7. Banyakkan membaca Al-quran. Ayat al Quran mampu melembutkan hati anak-anak anda. Manjadikan mereka lebih mudah mendengar kata. Tahukah anda, hiburan di kaca TV atau radio banyak menyebabkan hati anak-anak menjadi lebih keras dan sukar mendengar kata.

Salah satu tanggungjawab yang sering diabaikan oleh ibu-bapa ialah memenuhi keperluan emosi anak-anak. Keperluan ini sangat penting membentuk jati diri anak anda. Belajarlah mula menghargai anak anda. InsyaAllah mereka akan mula menghargai anda. Kerana mereka belajar dari anda.

Mereka juga seperti anda, melalui zaman bayi, melalui zaman kanak-kanak, melalui zaman remaja dan akan melalui zaman dewasa seperti anda. Fikirkanlah. Semoga tips dalam mendidik anak ini membantu anda.

Ulasan

Catatan Popular