Kesan buruk jika terlalu garang dalam mendidik anak – Puan Aishah


Kepelbagaian dalam mendidik anak-anak
Terdapat 3 jenis kepimpinan dalam keluarga iaitu kepimpinan autokratik, demokratik dan laissez-faire. Cara ini juga diaplikasikan dalam kepimpinan rumahtangga termasuklah cara pendidikan terhadap anak-anak.

Kepimpinan atau cara didikan autokratik berfokus kepada ibu bapa yang sangat tegas dan boleh dikatakan ibu bapa yang garang. Ciri kepimpinan autokratik termasuklah ibu bapa menggunakan kuasa untuk menentukan segala aspek dalam hidup anak-anak. Ibu bapa begini akan membuat penyelesaian, keputusan, kedudukan dalam semua aspek kehidupan anak-anak dan anak-anak mestilah menjadi pak turut segala apa perancangan ibu bapanya terhadap mereka. Peranan ibu bapa dalam konteks ini lebih kepada perancang dan penentu semua aspek kehidupan anak-anak dan anak-anak hanya menurut sepenuhnya tanpa ada bangkangan.

Kepimpinan atau cara pendidikan demokratik pula akan lebih menumpukan kepada lebih banyak perkongsian menang-menang antara ibu bapa dan anak-anak. Ibu bapa akan lebih banyak memberikan dorongan, sokongan serta galakan untuk anak-anak melakukan perkara-perkara yang telah disepakati bersama. Peranan ibu bapa lebih kepada memberikan sokongan, mampu berbincang secara adil serta galakan untuk anak-anaknya. Sokongan dan dorongan sangat diperlukan oleh anak-anak untuk mengembangkan potensi anak-anak ke arah membina jati diri yang mantap. Kata-kata perangsang ibu bapa adalah azimat untuk anak-anak meneruskan kehidupan dengan penuh keyakinan dan berusaha mencapai kejayaan demi kejayaan dalam hidup mereka.

Kepimpinan atau cara didikan yang ketiga iaitu laissez-faire pula ialah kaedah kepimpinan tanpa ada sebarang kawalan terhadap anak-anak. Mereka bebas melaksanakan apa jua perancangan dan keinginan mereka dalam hidup dengan sepenuh kebebasan. Ibu bapa tidak ambil tahu dan memberikan sepenuh kebebasan untuk anak-anak mereka. Ibu bapa yang melaksanakan cara ini sebenarnya tidak berperanan dalam membantu anak-anak. Anak-anak dibiarkan terumbang-ambing dalam meneruskan kehidupan tanpa sebarang bimbingan dan panduan daripada ibu bapa.

Kesan buruk jika terlalu garang
Ibu bapa yang garang banyak menggunakan kaedah pendidikan yang pertama iaitu autokratik di mana anak-anak tidak diberi pilihan untuk melakukan apa yang mereka sukai. Ibu bapa ini terlalu tegas dalam menentukan halatuju anak-anak serta semua aspek kehidupan. Kesan kepada anak-anak ialah anak-anak hidup dalam tekanan perasaan yang amat kuat malah ada yang menghadapi tekanan mental disebabkan terpaksa mengikut apa juga arahan ibu bapa walaupun hati tidak suka. Tekanan emosi kadang kala menjadikan anak-anak terlalu sgresif dengan orang lain malah ada juga yang menghadapi kemurungan, iaitu suka duduk sendirian, lebih banyak menghabiskan masa dengan bersendirian bermonolog dan mampu menyebabkan kerisauan pada diri mereka.

Tekanan mental juga berlaku dan menjadikan anak-anak tidak mampu fokus di dalam kelas dan belajar dengan tenang. Apa yang ada dalam minda mereka ialah rasa keterpaksaan dalam melakukan semua tugas hidup dan akhirnya anak-anak akan menjadi jemu dengan hidup. Malah ada juga anak-anak yang memberontak contoh bergaduh dengan kawan-kawan di sekolah, menjadi vandalisme dengan melepaskan tekanan dengan merosakkan alatan-alatan di sekolah serta menconteng tandas dan pelbagai premis lain untuk melepaskan tekanan perasaan.

Ada juga anak-anak yang dididik dengan autokratik akan melepaskan perasaan kepada adik-adiknya seperti suka memukul, membuli dan mencederakan mereka kerana ingin membalas dendam terhadap apa yang ibu bapa lakukan terhadap mereka.

Ibu bapa yang autokratik mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk memukul anak-anak mereka sekiranya anak-anak tidak mahu mengikut apa jua arahan mereka.

Antara kesan yang lain ialah anak-anak akan mencari sumber sokongan daripada orang lain seperti kawan baik, juga kawan yang lain jenis untuk berkongsi masalah dan perasaan mereka. Dan mereka lebih mempercayai kawan baik itu dari ibu bapa mereka sendiri. Apa yang ditakuti ialah bilamana mereka mendapat kawan-kaan yang tidak baik dan terlibat dalam gejala sosial seperti dadah, rempit, melepak dan kes2 jenayah juvana. Anak-anak juga akan mudah meletakkan kepercayaan, sokongan kepada selain ibu bapanya dan sampai satu tahap anak-anak sanggup keluar dan lari dari rumah bila terlalu tertekan dengan sikap ibu bapa terutamanya anak-anak remaja.
Anak-anak yang tertekan berkecenderungan untuk mendapat penyakit kemurungan atau “depression”, kebimbangan melampau atau “anxiety disorder” serta berkemungkinan mendapat skizofrenia sekiranya tidak dirawat dengan baik, selain menjadi vandalisme dan terlibat dengan jenayah delinkuen juvenil.





Oleh: Puan Siti Aishah bt Hamid Ketua Biro Keluarga & Masyarakat ISMA Cawangan Alor Setar
Nota: Puan Siti Aishah merupakan pensyarah di Jabatan Bimbingan dan Kaunseling, Institut Perguruan Kampus Darulaman, Jitra.

Ulasan

Unknown berkata…
Cara Mendidik Anak tidak harus dengan cara yang keras apalagi untuk anak2 usia balita

Catatan Popular