Rahsia Mendengar Dan Menafsir Mimpi Anak
Ahli psikologi menyatakan mimpi manusia adalah cermin perasaan dalaman kita. Baik mimpi orang dewasa atau kanak-kanak, sama sahaja halnya. Apa yang membezakan kita dengan mereka – kanak-kanak tidak dapat meluahkan perasaan sepenuhnya dengan kata-kata. Perlu diberi perhatian bahawa ini bukan bermakna mereka tidak mempunyai apa pun perasaan terhadap apa yang berlaku dalam kehidupan mereka. Apabila mereka sedang tidur, minda mereka boleh mewujudkan gambaran perasaan yang terbuku dalam dada mereka tersebut dalam bentuk mimpi sebagai ganti kata-kata. Ini adalah diri mereka sebenar. Ia keluar dari minda bawah sedar yang paling tulus dalam menyimpan rahsia terpendam.
Kita sebagai orang dewasa, bila kita tidak dapat menjadi diri kita sendiri atau terpaksa berlakon kerana sesuatu situasi, kita akan rasa kecewa dengan diri sendiri. Kanak-kanak juga akan berasa yang sama. Tetapi kekurangan mereka adalah, mereka pastinya tidak dapat menyatakannya secara lisan. Ia akan disalurkan melalui mimpi. Maka, wahai ibubapa, perhalusilah mimpi mereka bila mereka bercerita tentang mimpi mereka. Ramai yang buat tidak endah dan mengatakan bahawa ianya sekadar mimpi kepada anak mereka ketika mereka mahu mula bercerita kepada kita yang sentiasa sibuk mengejar masa. Akhirnya anak terkebil-kebih memendam rasa dan mimpi mereka yang tidak terluah.
Untuk terlibat dalam aktiviti baru ini dengan anak anda, saya cadangkan kurangkan pendedahan TV cerita fantasi kepada mereka, supaya mimpi mereka (atau minda bawah sedar mereka) tidak menginginkan keinginan fantasi yang melampau.
Panduan Asas – mimpi buruk adalah biasanya manifestasi kebimbangan peribadi dan bermakna sesuatu dalam hidup mimpi anak itu perlu di beri perhatian untuk diselesaikan oleh ibubapa dengan cara berdepan dengannya. Tema-tema yang paling biasa untuk mimpi buruk adalah mengalami serangan ganas atau cuba untuk lari dari sesuatu atau seseorang. Selalunya mimpi buruk ini berkait dengan rasa takut atau kebimbangan yang disebabkan oleh tekanan, terutama tekanan ibubapa untuk anak mereka cemerlang dalam semua pelajaran contohnya.
5 Cara untuk Berbual Dengan Anak Tentang Mimpi
- Tanya mereka pada waktu pagi jika mereka mempunyai sebarang mimpi. Kemudian Dengar.
- Berfikiran terbuka mengenai mimpinya dan fokus pada mesej penting. Mungkin boleh berdiskusi tentangnya ketika bersarapan pagi.
- Bertanya kepada mereka siapa yang berada di dalam mimpi itu, bagaimana mereka rasa ketika itu, bagaimana ia bermula dan berakhir? Ini akan membantu anda memahami sumber mimpi itu dan sedikit sebanyak maknanya.
- Jika mereka sudah pandai menulis, suruh mereka tulis cerita mimpi mereka setiap kali mereka bermimpi. Galakkan mereka untuk tulis tafsir mimpi mereka setelah berbincang dengan kita. Bercakap tentang mimpi adalah menyeronokkan untuk mereka. Berhati-hati untuk tidak mengatakan sesuatu seperti, “Mimpi tak masuk akal” atau “Tipu hanya rekaan!”. Galakkan mereka untuk berkongsi dan jika boleh suruh mereka lakonkan adegan mereka didalam mimpi itu untuk menguatkan lagi kebaikkan itu. (Jika mimpi baik)
- Akhir sekali, ingatkan anak untuk tetap berkata benar ketika jaga mereka sampai bila-bila untuk mendapatkan mimpi yang benar. Berdoa dengan anak-anak jika mereka mendapat mimpi yang baik.
Anda tidak perlu menjadi pakar dalam bidang tafsir mimpi. Anda hanya perlu membaca yang tersurat didalam tersirat. Read between the lines.
Contoh Mimpi Anak dan Caraku Menafsirkannya
Situasi sebelum mimpi
Menganalisa keadaan si pemimpi adalah penting sebelum menafsirnya. Jika tidak, kita tidak tahu ketakutannya, peluang atau potensinya dan sebagainya. Contoh dalam mimpi dan situasi anakku, memang aku letakkan impian pada anakku Danish 9 tahun, Dania, 7 tahun untuk menjadi antara pakar dalam bidang saintis dan perubatan satu hari nanti.
Mimpi
Haikal bercerita, dia bermimpi semua manusia mempunyai robot peribadi mungkin dari pengaruh dari movie. Robot peribadi itu bukan sahaja boleh membantu melakukan kerja harian tetapi mampu bertukar menjadi kenderaan pemilik yang juga boleh terbang. Aku tahu Haikal mempunyai imaginasi yang luar biasa dan mungkin mimpi tersebut salah satu imaginasi yang menjadi impiannya
Caraku Bertanya dan Menafsir :
Merujuk Kepada Maksud
Robot, aku tahu Haikal mahukan sesuatu yang boleh membantu Ibu di rumah seperti memasak, mengemas, membasuh dan sebagainya kerana Haikal sentiasa mengulang ayat kesian ibu balik kerja buat kerja lagi. Dan dia mungkin mahu mengelak dari disuruh ibu melakukan sesuatu. Bila mimpi robot tersebut jadi kenderaan mungkin Haikal mahukan kenderaan tersebut membawa ibu ke mana sahaja yang dihendaki maklumlah ibu tidak mahir drive tambah ianya boleh terbang sebab cita2 ibu nak jadi pilot hehehe...
Merujuk Al Quran
Aku juga merujuk kepada al Quran dalam menafsir mimpi. Mimpi adalah antara salah satu cabang kenabian. Mimpi kanak-kanak yang tidak berdosa atau tidak dipertanggungjawabkan dosa dan sentiasa membaca al Quran sudah tentu mempunyai makna yang lebih berat dari mimpi orang dewasa yang selalu lalai.
Menurut Ibnu Sirin yang terkenal dalam menafsir mimpi di zamannya, dia mengajar orang yang mahu menafsir mimpi perlu merujuk menganalisa diri orang yang bermimpi itu sebelum merujuk kepada al Quran . Didalam al Quran tiada perkataan kereta apalagi kereta komputer. Namun simbol yang dimaksudkan boleh dicari dengan menggunakan akal.
Merujuk kepada ayat al Quran, mimpi di jalanraya yang aman, bererti berpergian lalu mendapat KEBAIKAN dan MANFAAT.
1. “Supaya kapal berjalan di sana dengan izinnya dan agar kamu mengambil kurnia Allah dan supaya kamu bersyukur kepada Allah.” (Surah al-Jathiyah 12) 2. ‘Dan (Dialah) yang telah menciptakan semuanya berpasangan dan Dia mengadakan bagi kamu bahtera dan binatang ternakan yang kamu dapat kenderai. Supaya kamu berada tetap di atasnya kemudian kemu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu berada tetap di atasnya serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan : ”Maha Suci Allah yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami sedang kami sebelum ini tidak berdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kami tentu akan kembali kepada Tuhan kami.” (surah az-Zukhruf, ayat 12 hingga 16)
Semoga penulisan ini memberi bukan sahaja panduan tetapi yang lebih penting memberi sisi pandang berbeza selepas ini setiap kali seorang anak mahu bercerita tentang mimpinya kepada ibunya.
Petikan artikel “Belajar Semasa Tidur”
Ulasan