5 Tips Kejayaan Ibu Ajar Anak Membaca
Kunci utama kejayaan ibu bapa mengajar anak di rumah di antaranya ialah dengan belajar melalui bermain. Bagi kanak-kanak mereka belajar dengan bermain. Dengan sedikit perancangan kita dapat menjadikan sesi bermain itu sebagai sesi belajar tanpa disedari.
Berikut adalah beberapa panduan yang harus diamalkan oleh ibu bapa, selain bermain, untuk mendapatkan hasil terbaik apabila mengajar anak di rumah.
1. Singkatkan Masa Belajar
Berapa lama anak kecil anda boleh duduk diam belajar? 5 minit? 3 minit? 1 minit? Anda lebih kenal anak anda. Bagi kami sesi belajar mestilah singkat. Bagi kanak-kanak perempuan 5 minit sudah cukup baik, dan bagi kanak-kanak lelaki yang berusia 4-5 tahun, 2 minit sudah cukup lama. Jadi sesi belajar anak anda mestilah 2-5 minit sahaja. Bahkan kajian yang dibuat telah menunjukkan bahawa kanak-kanak tadika hanya dapat memberikan tumpuan pada satu-satu masa hanya 15 minit sahaja. Oleh itu singkatkan masa anda untuk pembelajaran yang berkesan. Jika anda ingin melanjutkan sesi belajar, jadikanlah sesi tersebut sebagai sesi bermain.
2. Berhenti Sebelum Mereka Jemu
Belajar membaca bagi kanak-kanak kecil memang tidak menyeronokkan kecuali anda menjadikan sesi tersebut menyeronokkan melalui bermain dan santai. Oleh itu pastikan anda berhenti mengajar membaca atau aktiviti belajar sebelum mereka jemu. Oleh itu anda perlu tahu tanda-tanda mereka sudah jemu seperti mereka sudah tidak mahu lagi mengikut atau melihat apa yang anda tunjuk, telah bercakap hal-hal lain, mula menunjukkan ke arah lampu, kipas, mainan dan telah mula memberi alasan sakit pinggang dan sebagainya. Berhenti sebelum semua tanda-tanda itu muncul supaya mereka dapat merasakan bahawa sesi belajar itu santai dan tidak memaksa. Berhenti belajar pada masa mereka masih dalam mood belajar memudahkan anda memulakan sesi belajar yang baru nanti.
3. Kerap
Berdasarkan pengalaman Puan Nik Rokiah yang mengajar anaknya Siti Sarah Aqilah membaca, beliau mengajar anaknya 3-4 kali sehari. Bagi kanak-kanak kecil, mereka cepat lupa. Apatah lagi sekiranya perkara yang mereka belajar ini tidak bermakna dalam hidup mereka kerana huruf-huruf ini tidak sama dengan mainan-mainan yang mereka suka. Oleh itu lebih kerap anda duduk bermain dan mengajar mereka lebih baik untuk ingatan mereka. Pilihlah masa yang sesuai seperti selepas mandi, selepas makan, selepas rancangan TV atau sebelum tidur untuk mengingatkan mereka mengenai bunyi yang di ajar, teknik asosiasi yang dibuat dan menunjukkan kad-kad yang berkaitan.
4. Beri Galakan Dan Pujian
kanak-kanak sangat senang memberikan kerjasama sekiranya kita pandai menggalakkan mereka melalui hadiah, pujian, atau dorongan melalui apa yang mereka minat. Saya pernah mengajar anak seorang usahawan emas di Kota Bharu yang memiliki lebih daripada 8 buah kedai emas, bagi anak beliau hadiah berupa tudung botol sudah cukup untuk menggembirakannya dan mendorongnya belajar. Ada satu kumpulan lagi yang terdiri daripada kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun juga pernah saya ajar melalui bermain lumba kereta dan menjadikan kereta coklat sebagai hadiah. Hasilnya mereka bukan sahaja bersungguh-sungguh membaca bahkan berebut-rebut untuk membaca dulu. Bagi sesetengah kanak-kanak pula kuih lapis pun boleh menjadi pendorong belajar. Kadang-kadang apa yang diperlukan oleh kanak-kanak itu sekadar pujian dan galakan. Walaupun baru menyebut bunyi /a/, pujilah mereka dengan mengatakan: “Wah, pandainya anak abah”, “Hebat betul sebut /a/. Baru sebut sekali dah pandai”,.apa yang berlaku ialah sel-sel neuron anak di dalam otak akan menjadi aktif yang menyebabkan maklumat yang di ajar senang diingati dan menjadi kekal, insyaAllah.
5. Keep Cool
Barangkali inilah yang menjadi cabaran utama ibu bapa yang mengajar anak di rumah. Sesi belajar akan jadi lebih berkesan jika ibu bapa dapat 'cool' atau tenang. Dengan karenah anak yang pelbagai, mengekalkan tahap kesabaran dan ketenangan yang tinggi memang mencabar. Seperti kata Puan Nurul tadi, mana boleh nak marah-marah, garang-garang... nanti lari pulak.
Oleh sebab itulah kami menyarankan supaya sesi belajar mestilah singkat, ngam-ngam ngan tahap sabar kita. Pastikan nada bahasa kita juga 'cool' kerana anak-anak mudah mengecam nada marah dan tidak sabar ibu bapa semasa mengajar. Keadaan belajar dalam keadaan tertekan dan tidak tenang tidak akan membuatkan sesi belajar bermakna dan berkesan. Cuba jadikan sesi belajar sebagai sesi bermain kerana lebih menyeronokkan dan menyenangkan. Elakkan marah-marah, paksa-paksa apatah lagi jika ugut, cubit, ketuk kepala dan sebagainya... Kambing pun cabut lari.
Kesimpulannya, sesi mengajar yang mengikut fitrah kanak-kanak itulah yang paling berkesan untuk anak anda rajin membaca.
Artikel ini dipetik daripada buku “ Ajar Anak Kecil Membaca Awal” yang ditulis oleh Nik Eliani Nik Nawi & Othman Ahamad Terbitan ReadNetwork.
Ulasan